Aqeel Khalis Kekal di Hati Kami Buat Selama-lamanya

Aqeel Khalis Kekal di Hati Kami Buat Selama-lamanya

Tahun baru 2017 baru sahaja beberapa minggu berlalu. Terasa seperti baru sahaja Aqeel Khalis meninggalkan kami buat selama-lamanya. Tahun 2016 sememangnya menguji semangat kami berdua serta banyak perkara manis dan pahit yang berlaku.

Teringat kembali semasa awal tahun 2016 kami berada di tanah suci Mekah untuk mengerjakan umrah. Alhamdullillah segalanya dimudahkan rezeki dari Allah. Tanah suci merupakan tempat di mana kita terlupa tentang kesibukan dunia dan hanya menumpukan kepada ibadah sahaja. Ramai yang berada di sana hanya untuk beribadah.

Seterusnya perkara yang ibu tidak pernah lupa iaitu pada 20 Mac 2016 dengan BHCG iaitu 94 yang menunjukkan positif. Pertama kali ibu sedar tentang kewujudan Aqeel di dalam rahim ibu. Pada masa ini memang rasa tidak percaya dan air mata tidak henti-henti menitis kerana bersyukur kepada Allah. Tidak menyangka Allah memberikan peluang kali ke 2 untuk merasai pengalaman ini. Ibu ingat lagi lebih kurang 6 kali ibu membuat UPT sebab tak percaya tetapi rahsia Allah siapa yang tahu.

Tambahan pula, seminggu selepas itu ibu mendapat surat dari Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dengan menyatakan ibu mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Ayah pun mendapat kenaikan pangkat. Aqeel Khalis pembawa rezeki kepada ayah dan ibu. Ayah dan ibu bersyukur dengan apa yang diperolehi. 

Pada 29 Mei 2016 ibu berpindah ke Kelantan. Ibu sangat sukakan negeri Kelantan sebab di sini banyak masjid-masjid yang selalu dipenuhi oleh orang ramai. Negeri yang tidak banyak tempat hiburan. Walaupun begitu, hati terasa berat pada masa ni untuk berada di Kelantan.

Perjuangan menuntut ilmu tetap perlu diteruskan. Ujian pertama yang dihadapi ibu semasa di Kelantan iaitu apabila rumah yang baru sahaja disewa selama 3 hari mempunyai masalah dan ibu dan kawan terpaksa keluar dari rumah tersebut. Walaupun ibu hanya seorang di sana tetapi kawan-kawan banyak membantu untuk memindahkan barang-barang yang ada di dalam rumah. Kawan-kawan yang berbilang bangsa memang sangat baik kepada ibu dan ibu ucapkan berbanyak-banyak terima kasih buat semua yang membantu.

Banyak masa yang ibu luangkan dengan anak ibu pada masa ini. Tiap-tiap kali ibu rasa down atau nak give up, ibu terasa pergerakan dalam rahim ibu dan Alhamdullillah ada kekuatan yang luar biasa yang datang. Ibu tidak rasa keseorangan dan selalunya kita akan bersembang sama-sama. Aqeel Khalis pun akan tendang-tendang dalam rahim ibu seolah-olah memberikan respond. Ibu tidak pernah lupa akan perkara itu.

Ada satu hari ibu muntah-muntah teruk dan sakit perut yang sangat-sangat. Ikutkan hati memang dah tak larat. Selepas habis kelas CME waktu pagi, ibu gagahkan diri seorang diri pergi ke kecemasan. Alhamdullillah ibu cuma alami gastrik pada masa itu. Lepas hydration kat OR, kita pun bergerak balik ke rumah. Aqeel mesti ingat pada waktu ini kerana hanya kita berdua ja masa tu sebab ibu tak nak susahkan orang lain.

Ada juga ibu kena admit untuk observation. Masa ini kawan-kawan ibu juga ramai datang yang tolong seperti Aunty Theva, Uncle Lim, Uncle Anuar, Aunty Syeha, Aunty Heng dan juga kawan-kawan yang lain. Tidak ramai yang tahu ibu berada di dalam wad pada masa ini kerana sebelum itu ibu kerja macam biasa dan lepas tu walaupun MC ada lagi tetapi ibu tetap gagahkan diri pergi kerja sebab nak jimatkan cuti. Aqeel memang berikan kekuatan luar biasa kepada ibu. Selepas semuanya dah settle barulah ibu beritahu keluarga di Kedah. Ibu tak nak ayah risau kerana tiap-tiap hari ayah berulang alik kerja dari Kedah ke Pulau Pinang. Tok mama pun tidak berapa nak sihat. Walaupun masa tu tengok katil-katil wad yang lain ramai keluarga datang menziarah jadi ibu berasa cemburu tetapi ibu yakinkan diri bahawa ada orang lain yang hanya sebatang kara di dalam dunia ini mesti lagi sedih. Ibu masih boleh call dan dengar suara keluarga bila ibu rindu.

Pada 23 Oktober 2016 ibu pergi ke klinik untuk buat check up iaitu sehari sebelum anak kesayangan ibu dan ayah lahir. Besar perancangan Allah kerana pada masa ni perkara yang ibu paling takutkan. Ibu takut kena deliver kat Kelantan seorang diri tanpa keluarga di sisi. Hari ni ayah bersiap-siap kemas barang hendak balik ke Kedah. Biasanya ibu drive seorang diri ke tempat kerja tetapi pagi ni kaki ibu cramp sangat. Ibu mintak ayah tolong hantarkan ibu ke HUSM. Waktu balik ibu ingat nak tumpangkan kawan-kawan atau naik teksi sahaja. Allah memang dah rancangkan sesuatu kerana waktu scan tengok pembesaran Aqeel statik dan berat anak ibu tidak naik jadi Doktor buat doppler. Doktor suspect IUGR dan nasihatkan untuk deliver awal. Ibu sangat takut pada masa ini dan terus ibu call ayah. Ayah masih lagi ada di Kelantan dan ayah datang untuk berjumpa dengan ibu. Jalan baru buka 2 cm masa ini dan ibu berasa tidak sedap hati. Ibu mengajak ayah untuk balik ke Kedah tetapi Doktor nasihatkan deliver di sini sebab takut risiko semasa dalam perjalanan. Terus masuk ke dalam wad dan buat Dexa injection. 

Pada 24 Oktober 2016, disebabkan jalan tak buka maka kena proceed dengan caesarean section jugak. Ibu tawakkal ja masa ni. Ibu call ayah dan semua keluarga di Kedah dan lain-lain minta halalkan semua sebab masa ni memang hati rasa tak sedap hati. Ibu ingat ibu yang akan dijemput oleh Allah tetapi rupa-rupanya lain yang berlaku. Alhamdullillah dengar tangisan kali pertama anak ibu pada masa ini dan ibu pun turut nangis bersama. Allah bagi kesempatan untuk rasakan pengalaman ini. Ibu cium anak ibu masa ni dan confirmkan jantina. Ibu tidak pernah lupakan saat ini dan ibu masih lagi terasa ibu cium anak ibu. Sampai hari ni ibu tak pernah lupakan.

Lepas itu, ibu dihantar ke wad dan ibu mintak ayah turun untuk tengokkan anak ibu. Ayah terus turun untuk tengokkan Aqeel. Ayah azankan Aqeel yang berada di dalam incubator dan menangis terharu. Aqeel pun turut menangis teresak-esak bila dengar suara ayah. Aqeel Khalis anugerah terindah buat ayah dan ibu pada tahun 2016. Anak ibu baik sangat dan jarang buat perangai. Kesempatan yang kita luangkan bersama-sama di Nilam 1 dan Nilam 2 (NICU HUSM). Hari-hari ayah dan ibu datang melihat Aqeel Khalis kerana sangat sayangkan anak ayah dan ibu. Walaupun ibu sakit selepas operation tetapi ibu gagahkan diri dengan ditemani oleh ayah. Rupa-rupanya itulah masa yang ada untuk bersama-sama Aqeel Khalis.

Pada 28 Oktober 2016 ibu pun tak tahu kenapa hati ibu berasa tidak sedap hati. Sedih dan sayu. Malam ini ibu dan ayah luangkan masa yang sangat lama dengan Aqeel Khalis iaitu hampir 2 jam. Anak ibu pada malam ini sememangnya minum dengan banyak, senyum, buka mata dengan luas dan bersembang-sembang dengan ayah. Ibu siap cakap pandai anak ibu minum banyak, cepat berat naik dan cepat boleh balik. Ibu rasa susah sangat nak tinggalkan Aqeel malam ini. Siap ada hati nak mintak AOR discharge tetapi mestilah Doktor tak bagi sebab risiko baby pramatang.

Pada 29 Oktober 2016, pagi-pagi lagi ayah dapat call dari hospital. Ibu berasa tak sedap hati kerana ibu seorang Doktor jadi ibu dapat rasakan sesuatu. Hospital tidak akan telefon waktu pagi selepas Subuh kalau tidak ada apa-apa yang penting. Sampai sahaja di NICU, Aqeel dah pun dipindahkan ke Nilam 1. Bertambahlah tak sedap hati ibu. Lepas tu ibu dan ayah dipanggil masuk ke dalam bilik Doktor. Anak ibu telah collapse, kena CPR, BP mushed, sepsis dan kulit jadi kebiruan. Masa ni ibu dah hilang semangat kerana dalam pantang dapat berita macam ni. Anak ibu tidak lagi sempat balik pun lagi jadi macam ni. Semua barang yang dibeli masih banyak yang tidak lagi dipakai oleh Aqeel. Besarnya ujian dari Allah. Masa tu memang ibu langsung tidak meninggalkan anak ibu.

Ayah dan tok man bergilir-gilir membacakan yassin. Ayah juga telefon wan, opah dan tok wan serta ahli keluarga yang lain. Kami sentiasa berdoa supaya Aqeel akan pulih seperti biasa. Kawan-kawan ibu pun datang untuk memberikan sokongan. Ibu tidak kuat pada masa ni. Sampaikan kali ke 3 Doktor melakukan rawatan kat Aqeel, ibu tak boleh tengok bila darah mula keluar dari hidung dan mulut Aqeel. Ibu dan ayah redha dan relakan pemergian Aqeel. Terima kasih buat semua yang membantu. Doktor bagi ibu dan ayah memeluk Aqeel. Setelah Aqeel disahkan meninggal dunia maka ayah meminta kepada Doktor untuk mematikan mesin alat pernafasan. Doktor dan staf hospital menanggalkan semua wayar yang ada di badan Aqeel. Ayah dan ibu menangis di dalam wad NICU tersebut dan kami melihat Aqeel dalam keadaan yang tenang dan tersenyum. Terima kasih Aqeel kerana hadir dalam hidup ayah dan ibu walaupun untuk seketika. 

Alhamdullillah, pada tahun 2017 ayah dan ibu semakin kuat dan ibu yang menulis perkara ini di kertas dan ayah yang tolong taipkan di dalam blog Aqeel Khalis. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari keluarga, saudara mara, bos-bos, pensyarah-pensyarah, kawan-kawan, staf-staf hospital dan semua. Doa kalian yang memberikan kekuatan kepada kami dan semoga kami akan terus kuat melangkah untuk menghadapi perjalanan hidup ini.

3 comments:

  1. Khairul, kuat semangat.. Sepadan dengan ujian.. Perancangan Allah terbaik buat Khairul Dan suami.. Tabah k sis..

    ReplyDelete
  2. Perancangan Allah adalah terbaik....Aqeel Khalish menanti ibu&ayah d sana...semoga tabah doktor

    ReplyDelete
  3. Bertabah dgn ujian ni kb n asraf. Ada hikmah di sebalik ujian ni. Bee strong

    ReplyDelete