Selamat Hari Lahir Aqeel Khalis

Selamat Hari Lahir Aqeel Khalis

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Setahun berlalu dengan begitu pantas sejak Aqeel Khalis dilahirkan pada pagi hari Isnin bertarikh 24 Oktober 2016 selepas dua minggu ayah dan ibu menyambut Ulang Tahun Perkahwinan yang ke-6 pada 10 Oktober 2016. Masih lagi terasa ibu masuk ke dalam bilik pembedahan untuk melahirkan Aqeel Khalis dan ayah menunggu di luar dengan penuh sabar dan doa supaya semuanya dipermudahkan. Ayah sempat untuk mencari nama yang sesuai untuk diberikan kepada anak lelaki ayah dan ibu ini lebih kurang 2 jam ayah menunggu di luar.

Pembedahan telah selamat dijalankan di mana ibu dan Aqeel dalam keadaan yang sihat. Ibu telah ditempatkan di wad bersalin dan Aqeel pula ditempatkan di Wad Nilam, Hospital USM, Kubang Kerian, Kelantan. Ayah dan ibu penuh kesyukuran dengan kelahiran Aqeel Khalis. Ayah berkesempatan bertemu dengan Aqeel pada waktu petang selepas menguruskan apa yang diperlukan oleh ibu di wad bersalin. Pertama pertama yang ayah buat adalah mengazankan Aqeel yang berada di dalam inkubator dengan Aqeel menangis teresak-esak sambil ayah memegang tangan Aqeel.

Ayah sempat bersembang dengan Doktor dan Jururawat yang berada di situ dan ayah melihat jari tangan dan kaki Aqeel adalah normal di mana tidak seperti ayah yang mempunyai jari Polidaktil di ibu jari kiri. Doktor dan Jururawat memberitahu supaya Aqeel berehat supaya kesihatan dalam keadaan yang terbaik. Pada hari Isnin pelbagai pihak yang mengucapkan tahniah dan bersyukur sama ada dari pihak keluarga, rakan sekerja, rakan-rakan dan lain-lain. Hari tersebut merupakan hari yang sangat bahagia kepada ayah dan ibu selepas bertahun-bertahun menunggu cahaya mata yang pertama. 

Pada malam tersebut ayah sempat untuk pergi melihat Aqeel lagi dengan ayah pergi menghantar Pampers dan Tisu Basah supaya dapat digunakan untuk Aqeel. sepanjang berada di Wad Nilam tersebut. Aqeel berada dalam keadaan baik dan menggunakan bantuan pernafasan untuk sementara waktu sehingga keesokan harinya. Aqeel tidur dalam keadaan yang nyenyak dan ayah tidak sampai hati hendak memegang supaya Aqeel berada dalam keadaan yang selesa.

Setahun berlalu sejak Aqeel Khalis dilahirkan dengan saat yang indah tersebut masih lagi menjadi kenangan buat ayah dan ibu setiap hari. Ayah dan ibu berusaha untuk meneruskan kehidupan dan mencapai cita-cita yang diingini. Ayah berkesempatan untuk menziarahi pusara Aqeel Khalis untuk membersihkan pusara dan mendoakan untuk Aqeel Khalis. Keadaan cuaca yang baik dan angin sempoi-sepoi bahasa semasa ayah berada di situ. Ayah sempat menghantar gambar pusara Aqeel kepada ibu supaya kerinduan terubat.

Selamat Hari Lahir Aqeel Khalis Yang Pertama pada 24 Oktober 2017. Itulah ucapan yang mampu ayah dan ibu ucapkan pada Aqeel dengan melihat gambar Aqeel dan juga pusara Aqeel. Ayah dan ibu berharap kita akan bertemu dan bersatu semula di alam sana tidak lama lagi. Ayah dan ibu yakin Aqeel Khalis dijaga dalam keadaan yang terbaik di alam sana. Setiap yang hidup pasti akan mengalami hari kematian dan ingatlah Aqeel Khalis bahawa ayah dan ibu sentiasa menyayangi dan merindui Aqeel Khalis untuk selama-lamanya.

0 comments:

Post a Comment