Sejenak di Kubur Anakanda Aqeel Khalis

Sejenak di Kubur Anakanda Aqeel Khalis

Hari ini baru sahaja memasuki Hari Raya Haji Ketiga di mana pada bulan ini ramai umat Islam melakukan salah satu Rukun Islam iaitu menunaikan Haji Di Mekah. Beratus-ratus ribu umat Islam berada di sana dan semoga mereka semua mendapat Haji yang Mabrur. Tidak lupa juga kepada umat Islam yang melakukan ibadat korban dan juga melakukan aqiqah. Ayah dan ibu berpeluang untuk melakukan Aqiqah kali pertama untuk Aqeel Khalis dan Aqiqah yang seterusnya akan dilakukan beberapa bulan yang akan datang.

Pada ketika ini ayah dan ibu berada di Kuala Nerang dan di kesempatan ini ayah dan ibu berpeluang untuk menziarahi anakanda Aqeel Khalis di kubur di Masjid Pulau Kijang. Gambar Masjid Pulau Kijang ini diambil di laman blog kepunyaan blogger tempatan. Waktu Zuhur tadi ayah dan ibu berpeluang melihat pusara Aqeel di dalam keadaan hujan renyai-renyai. Cuaca mendung dengan langit yang gelap tidak menghalang keinginan ayah dan ibu untuk pergi melihat Aqeel Khalis. Sememangnya apa yang terdapat di dalam diri ayah ni, kalau ayah ingin melakukan sesuatu perkara ayah akan buat juga walaupun hujan lebat, angin ribut dan apa sahaja bencana ayah tetap akan buat apa yang ayah inginkan sampai dapat.

Keadaan di kubur telah dijaga dengan baik dan dalam keadaan yang bersih. Ayah dan ibu membersihkan kubur Aqeel Khalis dan membuang daun-daun kering. Keadaan tanah di kubur kering mungkin disebabkan sudah lama tidak hujan dan beberapa jam selepas itu hujan turun di Bumi Kuala Nerang ini. Pokok bunga yang ditanam sebelum ini sudah menunjukkan tanda-tanda akan kembang mekar tidak lama lagi. Bunga-bunga yang jatuh daripada pokok yang berdekatan, ayah dan ibu letakkan di pusara Aqeel. 

Sememangnya ayah dan ibu sangat rindukan Aqeel Khalis walau di mana pun kami berada dan sedar tak sedar pada bulan September 2017 ini akan hampir 11 bulan berlalu tanpa Aqeel Khalis di sisi. Ayah, ibu dan semua orang hanya berdoa supaya Aqeel Khalis di tempatkan di dalam Syurga yang penuh dengan kenikmatan dan dijaga dengan sangat baik di alam sana. Ayah dan ibu juga berharap pusara Aqeel akan menjadi taman-taman Syurga di mana Aqeel boleh berehat, bermain dan melakukan apa sahaja yang boleh menggembirakan. Ayah dan ibu akan teruskan perjuangan ini sehingga akhir hayat ini dan berharap perjuangan untuk dunia dan akhirat ini akan diredhai oleh Allah dan suatu masa nanti akan bersama-sama dengan Aqeel Khalis semula.

Ayah dan ibu tetap akan menziarahi Aqeel Khalis dengan kelapangan masa yang ada dan dalam masa yang sama berusaha untuk melakukan yang terbaik di muka Bumi Allah ini supaya hasilnya akan memberikan manfaat kepada semua umat manusia di Bumi ini. Aqeel Khalis akan menjadi sumber kekuatan ayah dan ibu untuk terus berusaha dalam apa sahaja yang dilakukan. Ayah dan ibu berharap Aqeel berbahagia di sana dan dalam keadaan yang terbaik setiap masa. Ayah dan ibu sentiasa menyayangi dan merindu Aqeel Khalis selamanya.

0 comments:

Post a Comment