Pengalaman Lalu Sebelum Aqeel Khalis Dilahirkan

Pengalaman Lalu Sebelum Aqeel Khalis Dilahirkan

Pengalaman ini diceritakan oleh isteri saya di atas kertas dan saya zahirkannya dengan sedikit pengubahsuaian di artikel blog ini untuk dikongsikan supaya dapat menjadi pencetus semangat khususnya buat diri kami dan umumnya untuk semua orang.

Setiap manusia mempunyai penyakit yang tersendiri yang lebih khususnya adalah kesukaran untuk mengandung. Kita semua mengetahui bahawa rezeki anak ini adalah kurniaan daripada Allah. Begitu juga dengan isteri saya yang telah disahkan telah mendapat penyakit Endometriosis tahap 4 di mana ianya bukan sesuatu yang mudah untuk diterima tetapi saya menyakinkan isteri saya bahawa setiap penyakit ada penawarnya dan kena terus berusaha seterusnya berdoa kepada Allah.

Pelbagai persoalan yang timbul dari pelbagai pihak berkenaan berkenaan bila hendak mendapat anak tetapi kami hanya menyatakan bahawa belum ada rezeki dan kami menyerahkan kepada Allah kerana Dialah yang Maha Mengetahui akan sesuatu perkara. Tambahan pula, bermacam-macam cara kami mencuba sama ada secara tradisional atau pun melalui rawatan doktor mengikut nasihat yang diberikan.

Seterusnya pada tarikh 25 Disember 2015 kami berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah. Semasa berada di Madinah dan Mekah, saya dan isteri tidak putus-putus berdoa di tempat-tempat yang mustajab untuk berdoa supaya Allah mengurniakan zuriat kepada kami setelah 6 tahun berkahwin. Kita hanya berusaha dan berdoa tetapi Allah yang akan menentukan segalanya.

Pengalaman Lalu Sebelum Aqeel Khalis Dilahirkan

Selepas pulang dari menunaikan umrah, saya dan isteri pergi berjumpa dengan Pakar Rawatan Infertility dan Reproduktif untuk rawatan In Vitro Fertilization (IVF) buat kali ketiga yang diketuai oleh Dr Murizah dan staf Hospital Sultanah Bahiyah. Ianya bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan persiapan dari segi fizikal, mental dan wang ringgit untuk menjalani prosedur ini.

Alhamdullillah selepas menjalani prosedur IVF ini, makan supplement tambahan dan perbanyakkan doa kepada Allah seterusnya pada tanggal 20 Mac 2016 maka ujian darah menunjukkan keputusan yang positif. Ini merupakan kenangan pertama Aqeel Khalis dalam hidup kami. Sujud syukur dipanjatkan kepada Allah di atas rezekiNya.

Pada 3 April 2016, scan yang dilakukan menunjukkan bayi berada di dalam rahim isteri. Air mata mengalir melihat degupan jantung pertama anak kami dan seterusnya isteri saya terus menghubungi saya selepas pemeriksaan tersebut. Ianya merupakan pengalaman yang menakjubkan yang datang dari Allah.

Pasangan-pasangan yang senasib dengan kami yang masih lagi menanti zuriat, janganlah berputus asa kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kami dianugerahkan rezeki yang tak terjangka dan teruskan berusaha kerana pasti ada hikmah di sebalik setiap ujian dan dugaan.

Setakat ini sahaja perkongsian ini dana kami akan terus berkongsikan pengalaman seterusnya yang dapat dijadikan iktibar untuk kita semua. Aqeel Khalis, ayah dan ibu sangat sayangkan mu dan semoga kita bertemu di syurga.

0 comments:

Post a Comment