Bismillahirrahmanirrahim...
3/12/16
Alhamdulillah, hari ni Allah S.W.T bagi kesempatan untuk ibu dan ayah ziarah wildan syurga kami Aqeel Khalis. Hari ni first time ibu dapat masuk dalam dan dekat dengan pusara Aqeel. Sebelum ni dapat pandang dari luar je. Rindu sangat pada anak kesayangan ibu ni. Sempat ibu dan ayah sedekahkan Yasin dan Al fatihah buat sayang. Bila berada di kawasan perkuburan ni, buat ibu sedar yang setiap yang hidup pasti akan mati. Cuma masa dan ketikanya hanya Allah S.W.T sahaja yang maha mengetahui. Segala apa yang kita ada hanya pinjaman daripada Allah.
Untuk pengetahuan Aqeel, alhamdulillah sekarang ibu dan ayah dah makin kuat. Ibu pun tak pasti dari mana kekuatan tu datang. Tapi ibu percaya segalanya dari Allah. Dia yang menguji dan Dia juga yang memberi kekuatan. Ibu dah mula posting di bahagian anaesthesiologi ( Bius) dan ditempatkan di ICU(Intensive Care Unit). Tempat di mana hanya pesakit-pesakit yang kritikal ditempatkan. Pesakit pesakit silih berganti dan kebanyakannya pergi menemui Ilahi. Baru baru ni, ada pesakit yang baru berumur belasan tahun yang meninggal dunia. Allahuakbar, ibu yang sempat bersama Aqeel 6 hari pun banyak kenangan yang tak dapat diluputkan dalam ingatan, inikan pula keluarga pada arwah. Ini membuatkan ibu sedar yang ada orang lain yang diuji lebih teruk lagi. Dan hakikat kehidupan sebenarnya kita sentiasa diuji.
Kadang-kadang kita rasa teruk kita diuji tapi sebenarnya ada insan lain yang diuji lebih berat daripada kita. Benarlah kata orang, jangan lihat orang yang lebih dari kita, tapi lihat orang yang lagi kurang dari kita, barulah kita akan sedar akan segala nikmat yang Allah dah kurniakan buat kita dan nescaya kita akan bersyukur.
Sesungguhnya Allah S.W.T tidak mendatangkan ujian itu kerana Dia zalim tetapi sebenarnya Dia sayangkan kita. Dikatakan bahawa kasih Allah S.W.T pada seorang manusia itu 70 kali ganda melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Jadi, walaupun ibu dan ayah sayangkan Aqeel, Allah lebih sayangkan Aqeel. Setiap ujian Allah pasti ada hikmahnya. Allah S.W.T uji kita kerana ingin menguji sejauh mana keimanan kita. Adakalanya kehidupan dunia banyak melalaikan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang akan membuka mata hati kita, mendidik kita supaya jangan berputus asa dan dengan ujian ini juga dapat mematangkan kita. Allah juga menguji kita sebab Dia rindu pada hambaNya. Hakikat seorang Muslim bila diuji, kita akan sedar bahawasanya hanya pada Allah S.W.T sahaja tempat kita kita mengadu.
"Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan." (Surah Al Fatihah: 5)
Ibu dan ayah bersyukur sayang dengan kehadiran Aqeel dapat membuatkan kami sedar akan banyak perkara. Alhamdulillah kami dah boleh mula tersenyum dan ketawa sekarang. Tapi tak bermakna yang kami lupakan sayang. Aqeel Khalis tetap dalam ingatan. Cuma hidup perlu diteruskan. Moga sayang tenang di sana. Moga Allah S.W.T tunjukkan jalan yang terbaik untuk kami. Moga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.
Buat insan-insan yang sedang diuji,
Inilah Hikmah Di Sebalik Ujian Allah
1. Allah tingkatkan darjat dan keimanan kita
2. Allah tarik sedikit nikmat untuk diberikan nikmat yang lebih besar
3. Allah berikan satu musibah bagi mengalih musibah yang lebih besar
4. Allah hapuskan dosa-dosa kita
5. Allah sedarkan kita dan mahu mendengar rintihan kita yang semakin mendekatinya
6. Allah mahu berikan iktibar kepada orang lain
7. Tanda Allah sayangkan kita
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” (Al Insyirah: 5-6)
Moga ibu dan ayah aqeel tabah di atas pemergiaan aqeel. Insyallah aqeel tunggu ibu dan ayahnya di syurga nanti.
ReplyDeleteSemoga ibu dan ayah Aqeel tabah menerima ujian ini.
ReplyDeleteSemoga anda berdua tabah menghadapi dugaan allah...
ReplyDelete